Penyakit Bawaan Lalat Pasir13/01/2002 11:26 a.m.Oleh: Najibah Hassan APABILA menyebut agas, pasti sebahagian besar daripada kita akan mentafsirkannya dengan pelbagai bentuk mengikut pemikiran dan pemahaman sendiri. Bagaimanapun, terdapat sejenis agas yang termasuk dalam kumpulan serangga atau lebih tepat dikenali sebagai lalat pasir (sand fly) yang mengancam kehidupan manusia. Pegawai Penyelidik Bahagian Kaji Serangga Perubatan , Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Khadri Shahar memberitahu sama seperti nyamuk, lalat pasir juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan beberapa penyakit tertentu kepada manusia. Menurut beliau, agas boleh dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Phychodidae (lalat pasir) dan kumpulan kedua chironomidae (penggigit kenit). Penggigit kenit biasanya terdapat di kawasan berhampiran pantai, paya bakau dan hutan. Mereka biasanya menyerang haiwan atau manusia secara berkumpulan dan menyebabkan rasa gatal. ``Penggigit kenit ini biasanya tidak membawa penyakit yang berbahaya kepada manusia. ``Bagaimanapun, penggigit kenit seperti Culicoides ini hanya mengancam kehidupan haiwan,''jelasnya. Berbeza dengan lalat pasir, ia boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan teruk sekiranya tidak dirawat. Khadri memberitahu, walaupun lalat pasir di Malaysia tidak membawa penyakit, namun di kebanyakan negara tertentu ia merupakan salah satu spesies serangga pembawa penyakit yang berbahaya kepada manusia. Menurut beliau, lalat pasir ini merupakan pembawa penyakit leishmaniasis atau di kalangan masyarakat India dipanggil sebagai kala azar yang bermaksud demam hitam. Di sesetengah negara seperti Amerika Tengah dan Selatan, Afrika Eropah, Benua Arab, India, Bangladesh, Nepal dan China biasanya penyakit leishmaniasis yang sering berlaku ialah dari jenis leishmaniasis kulit dan viseral (organ dalaman). Lalat dari spesies ini agak berbahaya kerana sesetengahnya merupakan pembawa parasit Leishmania yang boleh mengakibatkan Leishmaniasis. Khadri memberitahu, di negara ini lalat pasir ini lebih tertumpu di kawasan gua, hutan, tanah gambut dan berhampiran kawasan haiwan ternakan seperti lembu. Kajian di kawasan-kawasan gua mendapati spesies serangga ini mula aktif kira-kira pada jam 9 malam dan berakhir jam 4 pagi. Kitaran hidup lalat pasir sama seperti lalat rumah iaitu bermula dari telur, berengga, kepompong dan dewasa. Lalat pasir dewasa berbadan kecil iaitu antara tiga hingga empat kali ganda lebih kecil berbanding nyamuk Aedes. Rupa bentuk lalat ini bongkok dan berwarna kekuning-kuningan, mempunyai sepasang mata majmuk hitam dan kaki yang panjang serta halus. Sayapnya sentiasa terbuka ke atas ketika berehat dan diselaputi oleh banyak bulu halus pada keseluruhan badan dan sayapnya. Lalat pasir ini kerap bergerak secara melompat dan bila terbang biasanya tidak melebihi lima meter dari paras permukaan tanah atau tidak jauh dari tempat ia membiak. Sama seperti nyamuk, lalat pasir memerlukan darah untuk menghasilkan telur di mana sumber utama makanan mereka ialah kelawar dan kera. Namun, lalat pasir juga berkeupayaan menghasilkan telur tanpa menghisap darah. Bagaimanapun, hanya lalat pasir betina sahaja yang menghisap darah. Seekor lalat pasir betina mampu menghasilkan antara 30 hingga 50 biji telur yang berwarna hitam dan bujur. Ia akan bertelur di tempat gelap, lembap, di bawah daun-daun reput di atas tanah, di tempat lembap dan berlumut dan di dalam batang kayu yang berlubang. Telur ini akan menetas dalam masa antara 9 hingga 12 hari di mana berenga ini hidup dengan memakan bahan-bahan organik. Bagaimanapun, peringkat telur , berengga dan kepompong sukar ditemui secara semulajadi. Lalat pasir biasanya mencari makanan pada waktu malam dan bersembunyi di tempat-tempat gelap pada siang hari. Tempat Pembiakan Lalat Pasir Di Malaysia, kawasan pembiakan lalat pasir biasanya di dalam dan berhampiran kawasan gua, lubang-lubang pokok di pinggir dan dalam hutan. Ia juga banyak ditemui di kawasan ternakan haiwan seperti lembu. Biasanya, ia banyak ditemui di tempat gelap, lembap terutama sekali pada musim hujan. Sebaliknya, di India lalat pasir banyak ditemui dan gemar berehat di dalam rumah seperti di dinding kerana kebanyakan penghuninya gemar melapiskan najis lembu di lantai rumah. Selain itu, lalat pasir ini gemar menghisap darah haiwan peliharaan atau ternakan seperti anjing dan lembu. Jenis-Jenis Lalat Pasir Secara umumnya, terdapat enam kumpulan lalat pasir yang boleh menggigit iaitu Lutzomiya, Brumptomyia, Warileya, Phlebotomus, Sergentomyia dan Chinius. Bagaimanapun, hanya spesies Phlebotomus dan Lutzomyia terbukti menjadi pembawa parasit Leishmania. Spesies ini tersebar luas di kawasan beriklim panas dan sederhana. Daripada dua kumpulan lalat pasir ini terdapat hampir 500 spesies. Penyakit Yang Dikaitkan Dengan Lalat Pasir
Leismaniasis ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
Rawatan Penyakit leishmaniasis boleh dirawat dengan beberapa jenis ubat tertentu seperti garam antimoni. Bagaimanapun, pesakit mesti mendapat rawatan yang betul dan teratur dari doktor yang faham berhubung penyakit ini. Kebaikan Lalat Pasir Dalam ekosistem, lalat pasir ini memainkan peranan dalam meluputkan bahan-bahan organik. Ia juga merupakan sumber makanan kepada haiwan seperti cicak dan labah-labah yang tinggal di hutan dan di gua.
|




