BERITA
Sekolah Bestari Aras B : SMK Bandar Baru Bangi terpilih perintis

Sekolah Bestari Aras B : SMK Bandar Baru Bangi terpilih perintis

29/10/2004 10:45 a.m.

Oleh MARZITA ABDULLAH

AHAMAD SIPON (tiga dari kiri) menekan butang perasmian program sekolah angkat TSS-BTP 2004-2005 di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi di Selangor terpilih perintis Sekolah Bestari Aras B melalui Program Anak Angkat Telekom Smart School (TSS) - Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran 2004-2005.

Selama setahun itu, kedua-dua pihak akan mencari penambahbaikan kepada Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bestari (PBSB) dengan berpandukan teknologi-teknologi baru dan perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran (Teknikal) Datuk Dr. Ahamad Sipon, ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas sekolah bestari kepada 10,000 buah sekolah di negara ini.

``Warga sekolah diharap menjadi pengguna pakar aplikasi sistem pengurusan sekolah bestari dan perisian kursus sekolah bestari.

``Program itu juga dirancang bagi membantu warga sekolah ini menggunakan penyelesaian bersepadu sekolah bestari dengan cara yang paling optimum,'' katanya dalam ucapan sempena pelancaran program tersebut di Bangi, baru-baru ini.

Sebagai sekolah angkat, SMK Bandar Baru Bangi akan menerima khidmat bantuan teknikal, sesi `hands-on' aplikasi sistem pengurusan sekolah bestari berasaskan web dan sesi latihan penggunaan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru sekolah berkenaan turut didedahkan kepada model pengurusan perubahan yang dikenali sebagai KASABestari.

Model tersebut adalah berasaskan pembelajaran tindakan dengan menggunakan kaedah `future search' dan `soft system methodology' yang akan mengubah persekitaran pengajaran daripada zon selesa kepada zon yang lebih mencabar kepada guru-guru berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi TSS Sdn. Bhd. Datuk Dr. Abdul Rahim Daud berkata, pada penghujung program tersebut TSS dan BTP akan menilai prestasi yang ditunjukkan oleh sekolah berkenaan melalui indikator-indikator yang digariskan.

Antaranya ialah peningkatan penggunaan sistem sekolah bestari, mempastikan proses migrasi sistem berasaskan web berjalan lancar, peningkatan penggunaan perisian Perisian Kursus Sekolah Bestari dan peningkatan pembangunan kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam kalangan guru.

Dalam pada itu pemilihan, SMK Bandar Baru Bangi berikutan pencapaian dan kecemerlangannya dalam bidang pendidikan seperti menjuarai Sekolah Harapan Negara peringkat kebangsaan, menjuarai Program Keharmonian dan Keceriaan Sekolah Negeri Selangor dan pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Daerah Hulu Langat 2004.

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :  
Kata Laluan :
IKLAN@TUTOR
Pakej Pembelajaran Online
Elab
Utusan Online
USIK-USIK
CARIAN