
Majlis Amanah Rakyat (MARA)hari ini menjalinkan kerjasama dengan MIMOS Berhad dan Anak syarikat milik penuh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Perfisio Solutions Sdn Bhd melalui satu projek berasaskan teknologi berkaitan pembelajaran dan pendidikan yang dikenali sebagai Tutor Intelligent Learning Management System (Tutor iLMS).
Majlis pelancarannya hari ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin yang turut menyaksikan dua upacara pertukaran dokumen iaitu Perjanjian Perlesenan Teknologi di antara MIMOS Berhad dengan Perfisio Solutions Sdn Bhd dan Memorandum Perjanjian Persefahaman di antara MARA dengan MIMOS Berhad di Hotel Putrajaya Shangri-La.
Tutor iLMS yang dibangunkan oleh MIMOS Berhad merupakan satu aplikasi perisian pembelajaran pintar yang mampu menyediakan kaedah pembelajaran yang lebih berkesan buat seseorang pelajar berdasarkan profil dan personaliti sebenar mereka serta kaedah yang lebih mudah difahami melalui elemen multimedia terkini.
Bersesuaian dengan taglinenya, “The Future of Learning” atau Pembelajaran Di Masa Hadapan, Tutor iLMS menawarkan suatu proses pembelajaran yang teratur di mana setiap pelajar diuji terlebih dahulu dengan ujian psikometrik untuk mengetahui tahap Kepandaian Pelbagai dan Cara Pembelajaran yang sesuai dengan setiap kehendak murid. Pelajar boleh memilih objek pembelajaran untuk sesuatu matapelajaran kerana topik dipersembahkan dalam pelbagai format iaitu teks dan grafik, multimedia, realiti maya dan “augmented reality”.
Perfisio Solutions Sdn Bhd yang memainkan peranan sebagai ejen pemasaran perisian ini bertanggungjawab untuk membawa teknologi ini ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Perfisio sebelum ini berpengalaman dalam menerajui projek Tutor Online sejak tahun 2007, serta pernah bekerjasama dengan Astro menganjurkan pertandingan Battle of The Brain.
Manakala MARA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab dalam memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMa), akan menyediakan isi kandungan Tutor iLMS yang merangkumi beberapa kategori seperti pengajaran dan pembelajaran, keusahawanan serta kerjaya dan latihan untuk memadankan bahan dengan gaya belajar seseorang individu tersebut.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek perintis sudah dijalankan di kelima-lima pusat berkenaan dan ia dijangka dapat dilaksanakan mulai tahun depan.
“Kita memberi enam bulan kepada pelajar untuk melihat keberkesanan pelaksanaan sistem terbabit dan saya percaya ia dapat dilaksanakan menjelang tahun depan.
"Berdasarkan maklum balas setakat ini, kami dapati 92 peratus pelajar ingin menggunakan semula aplikasi berkenaan kerana ia mampu memendekkan tempoh pembelajaran dan ia lebih menyeronokkan selain tidak terikat dengan pembelajaran di dalam sekolah,” katanya selepas pelancaran Tutor iLMS di sini, semalam.
Menurut Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dalam ucapan aluannya berkata, Tutor iLMS ini berkemampuan untuk melebarkan teknik pembelajaran murid-murid bukan hanya melalui nota dalam talian dan soalan-soalan latih tubi, tetapi dapat menawarkan satu lagi pengalaman baru dalam bidang pembelajaran mereka.
“Kerjasama dengan MARA dan Perfisio Solutions Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MIMOS untuk mencipta saluran inovasi bagi mengembangkan industri multimedia tempatan ke pasaran global”, ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, MIMOS Berhad, Dato’ Abdul Wahab Abdullah.
Tutor iLMS dilengkapi dengan Sistem Pengurusan Pemantauan iLMS yang bermanfaat kepada murid, ibu bapa, pengetua, guru-guru malah hingga ke peringkat jabatan pendidikan negeri dan daerah.
Turut hadir di majlis pelancaran ini ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk HJ. Fadillah bin Yusof, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi, MIMOS Berhad, Dato’ Suriah Abdul Rahman dan tetamu jemputan yang terdiri daripada para pelanggan Perfisio Solutions Sdn Bhd serta pengurusan kanan Kumpulan Utusan, MIMOS dan MARA. |