Pelancongan Pelajar :: Destinasi

Tempat-tempat/aktiviti bernilai pengajaran dan pembelajaran

  Dataran Lang

Dataran Lang merupakan mercu tanda yang baru di Langkawi. Ia terletak berhampiran dengan jeti Kuah.

Terdapat sebuah tasik yang indah, restoran, jejambat, jeti dan teres yang berbumbung. Kedudukannya yang berdekatan dengan pantai menjadikan ia sebuah dataran yang menarik untuk pengunjung menikmati makan malam yang indah.

Di samping itu, pertunjukan kebudayaan juga diadakan di sini. Tarikan utama dataran tersebut ialah arca seekor burung helang. Menurut lagenda, Langkawi mendapat nama daripada nama ``lang'' yang merupakan nama pendek bagi helang. Manakala `kawi' mengikut istilah Melayu kuno bermaksud coklat. Oleh itu, Langkawi bermaksud helang coklat.

Dataran tersebut amat indah terutama pada waktu malam. Arca helang ini terletak di tempat strategik bagi mengucapkan selamat datang kepada pengunjung.

[ Aspek Pendidikan ]


  Taman CHOGM

Lokasi:  Kuah, Langkawi

Dibuka sebagai memperingati mesyuarat Komanwel yang pertama di Malaysia. Ia dihiasi dengan ruang pejalan kaki, yang boleh dikunjungi orang ramai. 

[ Aspek Pendidikan ]


   Taman Buaya Langkawi

Lokasi: Teluk Datai, Langkawi

Kawasan `penempatan' reptilia buatan yang terbesar di Malaysia, terletak 30 kilometer dari pekan Kuah. Ladang zoologi ini menempatkan kira-kira 1,500 ekor buaya.

Kemudahan yang disediakan di sini seperti restoran, kedai cendera mata. Taman Buaya Langkawi terletak di jalan Teluk Datai iaitu  kira-kira 32 kilometer di utara pekan Kuah. Didaftarkan dengan The Convention on International Trade and Endangered Species (CITES), ladang ini meliputi kawasan seluas 20 ekar. Terdapat lebih daripada 1,500 ekor buaya di ladang ini dan para pelawat boleh menyaksikan pelbagai pertunjukan buaya pada waktu-waktu tertentu. 

Dibuka setiap hari 9 pagi sehingga 6 petang.

Masa memberi makan buaya (masa persembahan) pada 11 pagi dan 2.45 petang.

[ Aspek Pendidikan ]


  Makam Mahsuri

Makam Mahsuri terletak lebih kurang 12 kilometer di barat laut pekan Kuah. Pelancongan pelajar tidak akan lengkap tanpa melawat ke Makam Mahsuri - tokoh lagenda paling terkemuka di Langkawi, merupakan wanita cantik jelita dan telah difitnah melakukan perkara curang terhadap suaminya.. Mengikut lagenda, beliau telah membuktikan kesuciannya dengan mengalirkan darah berwarna putih apabila dia dihukum bunuh.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan ditimpa bencana dan tidak akan aman makmur selama tujuh generasi. Kini tujuh generasi telah pun berlalu dan sekali lagi Langkawi telah dilimpahi dengan kemakmuran dan pelbagai projek pembangunan.

Kompleks Makam Mahsuri merupakan tapak persemadian Mahsuri. Di sekitar kawasan kompleks ini terdapat kedai-kedai menjual cenderamata dan gerai-gerai makanan. Terdapat juga pertunjukkan yang memaparkan cara hidup ``Langkawi lama'' seperti cara memproses padi, muzik tradisional serta istiadat `berendoi' untuk tontonan para pelancong.

Masa melawat: 8 pagi hingga 5 petang. 

[ Aspek Pendidikan ]


  Padang Mat Sirat (Beras Terbakar)

Padang Mat Sirat merupakan satu lagi tempat menarik di Pulau Langkawi. Terletak lebih kurang 18 kilometer dari Pekan Kuah, padang ini merupakan tempat simpanan beras kira-kira 200 tahun lalu.

Apabila Siam menyerang Langkawi, penduduk kampung telah membakar hasil tuaian padi dan simpanan beras mereka untuk mengelakkan jatuh ke tangan musuh. Sehingga kini, beras terbakar masih boleh dilihat di Padang Mat Sirat terutama selepas hujan lebat.

[ Aspek Pendidikan ]


  Air Terjun Durian Perangin

Air terjun Durian Perangin terletak di batu 9 ke utara pekan Kuah. Jalan ke air terjun bermula dari sini. Air terjun ini mengalir deras beberapa meter ke dalam kolam yang jernih. Kesegaran suasana persekitaran yang dipenuhi kehijauan membuatkan tempat ini sungguh menawan terutama kepada para pencinta alam semulajadi.

[ Aspek Pendidikan ]


  Galeria Perdana

Galeria Perdana dibina dengan idea asal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Ia ditubuhkan untuk menempatkan, mempamerkan dan berkongsi dengan rakyat pelbagai jenis anugerah, cendera mata dan pemberian para pemimpin dunia dan tokoh-tokoh kepada Dr. Mahathir kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Ini selaras dengan semangat bahawa apa yang dipamerkan di Galeria Perdana adalah juga milik rakyat dan kerajaan Malaysia.

Galeria ini dibuka dengan rasminya pada 3 Disember 1995. Binaannya ialah bangunan dua tingkat yang meliputi kawasan seluas 5,332.74 meter persegi.

Bahan-bahan pameran disusun dengan kemas dan teliti supaya ia bersebati dengan suasana harmoni dan kreatif bahan-bahan yang mempunyai nilai budaya seluruh dunia.

Bangunan ini dibahagikan kepada Blok A dan Blok B. Setiap blok mempunyai dua tingkat ruang pameran. Untuk maklumat lanjut, hubungi 04-959 1498.

[ Aspek Pendidikan ]


  Taman Laut Pulau Payar

Dianggap sebagai taman marin yang terbaik di Malaysia. Di perairan Pulau Payar yang jernih seperti kaca, ia dikelaskan sebagai taman karang yang terindah. Pulau Payar adalah salah sebuah daripada 99 kepulauan di Langkawi.  

Pengalaman anda  bermula dengan perjalanan dari Kuah. Perjalanan mengambil masa 45 minit dengan catamaran yang berhawa dingin, yang boleh memuatkan 162 penumpang sekaligus.

Anda akan dibawa ke platform karang bersaiz 49 meter X 15 meter. Di platform berkenaan disediakan bahagian kaca untuk mencerap keindahan di dasarnya, bot kaca, dan peralatan menyelam. Segala pakej kemudahan ini membolehkan pengunjung daripada semua peringkat umur - termasuk yang tidak tahu berenang - untuk melihat dengan dekat keindahan batu karang dan fauna lautan. Maklumat lanjut, hubungi 04-966 7318.

[ Aspek Pendidikan ]

Pulau Payar juga merupakan taman laut yang pertama diwujudkan di pantai barat Semenanjung Malaysia. Pulau Payar kaya dengan pelbagai flora dan fauna serta spesies organik laut yang menarik.

Ia menawarkan pantai yang putih bersih dan kejernihan air laut yang dapat memikat hati setiap pengunjung ke sana.

[ Aspek Pendidikan ]

 

  Underwater World

Merupakan salah sebuah akuarium akuatik (oceanariums) terbesar di Asia. Terletak di pantai Cenang, ia mempamerkan lebih 5,000 spesies hidupan lautan dan air tawar eksotika seperti kuda laut, penyu lautan dan pelbagai spesies unik. Para pengunjung juga boleh berjalan di bawah takungan akuarium kaca yang di kelilingi dengan ikan-ikan jerung, belut raksasa, kurau gergasi dan sebagainya.

[ Aspek Pendidikan ]


  Kompleks Budaya Kraf Langkawi

Terletak di Teluk Yu, memaparkan kekayaan warisan budaya negara. Para pengunjung pasti berasa kagum dengan kehalusan hasil kerja tangan seperti ukiran kayu, anyaman bakul, seramik dan barang-barang kristal. Barangan adalah untuk jualan sebagai ole-ole dari Langkawi.

[ Aspek Pendidikan ]


  Atma Alam

Merupakan perkampungan seni batik yang pertama di Langkawi. Diasaskan oleh Aza Osman, artis tempatan dan Roshadah Yusof, artis batik, perkampungan ini menyediakan bengkel lukisan tangan, ruang pertunjukan yang luas dan ruang pameran. Atma Alam menawarkan kepelbagaian hasil batik eksklusif sama ada daripada kain cotton atau sutera, pakaian kasual siap untuk bersiar-siar dan sebagainya.


Alamat:
Atma Alam Batik Art Village, Padang Matsirat, 07100 Langkawi. telefon: 04-955 1227.

[ Aspek Pendidikan ]


  Sangkar Ikan Langkawi

Merupakan sangkar terapung yang diperbuat daripada kayu oleh nelayan tempatan bagi keperluan memelihara ikan di dalam laut. Pelbagai jenis ikan boleh didapati di dalam sangkar ikan ini. Ia dipelihara untuk keperluan tempatan dan memenuhi permintaan pengusaha restoran.

Sangkar terapung menjadi tarikan kepada para pelancong untuk melihat bagaimana ikan dipelihara di dalam keadaan semulajadinya.

 Ia juga menawarkan peluang dan pengalaman yang menarik kepada pelancong yang ingin memancing sendiri di pelantar tersebut.

[ Aspek Pendidikan ]


  Lagenda Langkawi Dalam Taman
Lagenda Langkawi Dalam Taman adalah sebuah taman hasil cetusan idea Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia. 

Secara amnya taman ini memaparkan konsep lawatan setempat bagi melihat rekabentuk arca-arca dan binaan yang menggambarkan singkapan mitos dan lagenda silam yang menjadi teras Kemasyhuran Langkawi.

Ia terletak di tepi laut, 400m dari jeti Kuah, bersebelahan dengan Taman Chogm dan masjid Al Hana. Sesuai dengan konsep pembinaan Lagenda Langkawi Dalam Taman, maka rekabentuk lanskap yang dibuat adalah berasaskan kepada kehidupan semulajadi yang aman dan damai.

[ Aspek Pendidikan ]


  Tanjung Rhu

Pulau yang terdapat di sekitar Langkawi terkenal dengan pantainya yang semulajadi di samping air yang jernih untuk berenang. Tanjung Rhu terletak di sebelah utara pulau Langkawi. Ia dinamakan Tanjung Rhu kerana terdapat banyak pokok Rhu di sekitarnya. Pemandangan yang indah di sepanjang pantai memukau mata yang memandang.

Perjalanan singkat dengan bot dari Tanjung Rhu akan membawa anda ke pintu masuk Gua Cherita yang menyimpan pelbagai misteri. Tulisan-tulisan kuno yang masih belum dapat ditafsirkan boleh didapati di dinding-dinding gua tersebut.

[ Aspek Pendidikan ]


  Pantai Kok, Pantai Cenang, Pantai Tengah, Datai 
  dan Teluk Burau

Pantai-pantai yang indah seperti Kok, Cenang, Tengah, Pasir Hitam, Tengah, Batu Hampar, Datai dan Teluk Burau menawarkan suasana perkelahan yang mengasyikkan. Hotel mewah dan chalet disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Bagi penggemar aktiviti lasak, pelbagai kegiatan yang mencabar boleh diikuti.Manakala bagi penggemar makanan pula, pelbagai juadah yang enak tersedia dijual di sekitar pantai-pantai tersebut.

[ Aspek Pendidikan ]


  Pulau Dayang Bunting

Tasik Dayang Bunting terletak di selatan Pulau Langkawi, dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan hijau, merupakan tasik terbesar di Langkawi.

Deretan bukit-bukau dan gunung-ganang di sekeliling tasik kelihatan seolah-olah seperti tubuh seorang perempuan hamil yang sedang terbaring. Tasik dan pulau ini mendapat nama daripada kisah dongeng masa lalu.

Lagenda bermula dengan percintaan puteri kayangan yang mengahwini putera bumi. Anak sulung puteri tersebut mati selepas dilahirkan. Maka dengan rasa sedih beliau telah meletakkan mayat anaknya di tasik tersebut. Sebelum pulang ke kayangan, beliau berdoa mulai dari saat itu, setiap perempuan yang inginkan anak akan dikurniakan anak sekiranya mandi di tasik ini.

[ Aspek Pendidikan ]


  Pulau Singa Besar - Tempat Perlindungan Hidupan Liar

Di Pulau Singa Besar, hidupan liar seperti monyet, rusa, biawak dan burung merak diberi perlindungan yang sewajarnya. Aktiviti berkelah di tepi pantai yang indah, berenang dan menyelam memberi kepuasan kepada setiap pengunjung pulau ini.

Tiada hotel atau chalet didirikan di sini bagi mewujudkan keadaan semulajadi yang asli. Bagaimanapun, aktiviti berkhemah amat digalakkan di sini. Para pengunjung perlu membawa khemah sendiri bagi tujuan perkhemahan kerana tiada peralatan yang disediakan di sini.

[ Aspek Pendidikan ]


  Air Terjun Telaga Tujuh

Telaga Tujuh adalah kombinasi 7 buah telaga. Sebuah jeram yang jernih mengalir melalui telaga-telaga ini. Para pengunjung sering mendapati pengalaman menggelungsur di sini sungguh menyeronokkan. 

Bagaimanapun mereka dinasihatkan supaya berhati-hati daripada batu-batu licin dan berbahaya.

Telaga di bahagian bawah lebih selamat. Sungguhpun begitu, kanak-kanak harus diawasi.

 Telaga tujuh terletak kira-kira 23 kilometer di utara pekan Kuah. Untuk sampai ke sana, pengunjung perlu merentas hutan yang mempunyai tarikan semulajadi.

[ Aspek Pendidikan ]


  Pertunjukan Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 
  (LIMA)

Pertunjukan Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) merupakan acara dwi tahunan yang disertai oleh negara-negara maju dan membangun dari seluruh dunia. 

Pertunjukan itu mendedahkan para peserta, penganjur, orang awam, ahli-ahli perniagaan dan pihak-pihak berkuasa kepada kehebatan perkembagan teknologi pesawat pejuang, teknologi persenjataan, alat-alat ganti berteknologi tinggi yang terkini dan sedang dan bakal digunakan. 

Selain itu, peralatan pelayaran untuk tujuan bersantai juga dipamerkan. Bermula pada hari pertama lagi, para pengunjung dihiburkan dengan beberapa pertunjukan penerbangan oleh pelbagai jenis pesawat berat dan ringan. Pertunjukan seperti ini mampu memupuk minat para pelajar kepada teknologi udara dan laut.

[ Aspek Pendidikan ]


  Kampung Buku Malaysia

Membaca adalah jambatan ilmu. Di Langkawi konsep ini diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih bersungguh-sungguh dengan mewujudkan Perkampung Buku - dan merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Lokasinya juga strategik, iaitu hanya 10 minit memandu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan 15 minit dari jeti Kuah. Kampung Buku Malaysia terletak di celah-celah kehijauan hutan hujan di kaki Gunung Raya, iaitu puncak tertinggi di Langkawi.

[ Aspek Pendidikan ]


  Air Hangat Village
    Suasana aktiviti-aktiviti tradisional di Kampung Air Hangat mencerminkan kekayaan budaya negeri Kedah.   
airhangatpic02.jpg (11959 bytes)
airh05.jpg (12081 bytes) Tradisi Melayu dan tarian-tarian klasik dipersembahkan di dalam taman berserta seni tradisional Melayu dan aktiviti senikraf seperti lukisan batik, permainan congkat panjang serta urutan kaki.
Restoran Seri Pentas kami mempunyai persembahan kebudayaan Malaysia terbaik.

Anda dijemput untuk menikmati masakan Klasik Kampung yang dihidangkan dengan daun pisang menurut citarasa tradisi tempatan.

Kampong Air Hangat adalah konsep baru pelancongan, berasaskan pemajuan semula kolam air panas semulajadi yang terletak lebih kurang 16 kilometer di utara pekan Kuah. Kampung Air Hangat mempunyai keluasan 16 kilometer di utara pekan Kuah. kampong Air Hangat mempunyai keluasan lebih kurang 4 ekar. Antara daya tarikan yang disediakan untuk pengunjung ialah:

1. Kraftangan tradisi. Anda boleh mempelajari kemahiran baru - melukis batik, membuat pasu atau mempelajari khat Cina dari tenaga pengajar yang disediakan.

2. Perkhidmatan mengurut secara tradisional.

3. Kolam air panas.


Air Hangat Village
PO Box 56, Km 16, Jalan Air Hangat
07000 Langkawi, MALAYSIA
Tel: 604-9591357/1358
Faks: 604-9591246
E-Mel:
ahvlgk@pd.jaring.my

[ Aspek Pendidikan ]


  Laman Padi Langkawi

Penanaman padi merupakan industri pertanian tertua di negara ini. Sejarah, warisan dan perkembangan industri ini dipamerkan di Laman Padi Langkawi juga berperanan sebagai pusat penyebaran maklumat dan pengetahuan.

Tempat-tempat menarik di Laman Padi:

Muzium Padi

Muzium ini mempamerkan artifak, carta, gambar dan lain-lain untuk membari kefahaman dan pengetahuan mengenai peranan padi dan beras dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Laman Padi Bertingkat
Pengunjung berpeluang melihat tanaman padi yang ditanam di atas bumbung bertingkat, menikmati keharuman padi wangi di sekitarnya serta dapat melihat aktiviti tanaman padi di bendang dari atas bangunan.

Bendang

Pengunjung berkesempatan melibatkan diri dalam semua peringkat aktiviti tanaman padi yang dijalankan sepanjang musim. Proses tanaman padi secara tradisional dan cara moden turut diadakan.

Aktiviti-aktiviti selepas menuai seperti mengangin, menumbuk, menjemur padi dan lain-lain demonstrasi juga turut diadakan.

Restoran
Kemudahan restoran menyediakan resepi-resepi asli Melayu dan masakan kampung termasuk kuih-muih berasaskan beras.

Lain-lain Aktiviti
Suasana perkampungan sawah tradisional, Laman Padi terapung (floating rice garden), pusat-pusat pameran sementara, laman herba, pusat cenderamata dan kraf, demonstrasi kuih-muih Melayu berasaskan beras serta acara-acara kebudayaan.
Waktu Lawatan
Tiap-tiap hari
10.00 am - 6.00 pm
Masuk
Dewasa
Kanak-kanak 
di bawah umur 12 tahun

Percuma
Percuma


LAMAN PADI LANGKAWI
Pantai Chenang, Mukim Kedawang, 
07000 Langkawi
Tel: 04- 9554312     Fax: 04- 9551819

[ Aspek Pendidikan ][ ke atas ]

 

Pengenalan | Maklumat Am | Destinasi | Peta Destinasi | Penginapan | Panduan Perjalanan | Belanjawan | Merancang Cuti | Kalendar | Galeri Aishah



Portal Pendidikan Langkawi - Utusan 2001-2002 © Hak Cipta Terpelihara
Portal Pendidikan Utusan, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur