Rokiah Alias : Sekolah bestari `bonus' kepada sekolah02/02/2005 12:50 p.m.Oleh MARZITA ABDULLAH
SEKITAR awal tahun 90-an, tatkala teknologi maklumat (IT) masih belum diuar-uarkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan, warga Kolej Tunku Khursiah (TKT) telah menikmati kemudahan tersebut. Apabila Kementerian Pelajaran memperkenalkan Sekolah Bestari melalui Sistem Pengurusan Sekolah Bestari (SSMS) dengan kerjasama Telekom Smart School (TSS), ia dilihat sebagai bonus kepada warga TKT. Walaupun TKT telah mendahului dalam bidang IT, namun kemasukan SSMS disifatkan pemangkin kepada guru, pelajar dan pengetua TKT dalam menuju ke arah generasi berinformasi. Diletak pada tahap B+ dalam kelompok sekolah bestari, Pengetuanya Rokiah Alias menyifatkan program bestari sebagai pengukuhan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolahnya. ``Kemasukan TSS turut meningkatkan pengurusan IT di sekolah dan menentukan hala tuju sekolah kami,'' katanya di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini. ``Dengan kepakaran yang telah sedia ada dalam kalangan warga sekolah maka banyak masalah dapat dikurangkan,'' katanya. Program bestari memberi kemudahan tambahan kepada sekolah tersebut dengan adanya `server' dan kemudahan akses maklumat untuk pelajar. Sebagai sekolah yang telah menikmati prasarana IT melalui Sistem Maklumat Integrasi Pelajar (ISIS) yang dibina oleh warga sekolah itu, kemasukan SSMS disesuaikan memenuhi kemudahan yang sedia ada. Semua maklumat seperti pengurusan asrama, pejabat, data-data pelajar, keputusan peperiksaan, laporan peribadi pelajar dan laporan Adab memang telah pun dibina melalui ISIS. ``Kami ambil kedua-duanya dan memantapkannya kerana kita tahu untuk maju kita harus menerima IT,'' katanya. Pelajar TKT memang telah sedia celik IT kerana setiap seorang daripada tingkatan satu sehingga lima diwajibkan mengikuti kelas literasi komputer.
Mereka pernah menjuarai pertandingan membina laman web Maxis-Cyberlinq pada tahun lepas dan South East Asia Minister Education (SEAMEO) pada tahun 2003. Malah pendekatan (P&P) bagi semua mata pelajaran memang telah disediakan dalam bentuk multimedia. Justeru tambah beliau, tidak hairan TKT sering memenangi pertandingan laman web di peringkat negeri. ``Pada dasarnya konsep bestari adalah alternatif kepada pihak sekolah dan ia banyak membantu pelajar untuk lebih memahami sesuatu mata pelajaran,'' katanya. Perisian yang diberi oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) turut digunakan tetapi guru-guru harus memilih yang tertentu. ``Ini bagi memastikan setiap perisian bersesuaian dengan keupayaan guru, kerana ada perisian yang tidak sesuai,'' katanya. Sebagai pengetua dalam kumpulan pertama menerima kenaikan tertinggi JUSA C baru-baru ini, Rokiah turut dibantu oleh guru-guru yang berminat dalam bidang IT. Antaranya, Anuar Ahmad seorang guru fizik dan Penyelaras IT, Norhaizul Muhammad serta para pembantu makmal dan guru-guru lain.
Mereka mempunyai keupayaan untuk mengemaskinikan data dan memperbaiki sebarang kerosakan komputer tanpa perlu menunggu juruteknik yang dikhaskan oleh pihak jabatan. Ini kerana pihak sekolah telah menghantar kumpulan guru tersebut menjalani latihan memperbaiki kerosakan tersebut. Malah sebarang komponen dalam komputer yang telah rosak akan dibeli sendiri oleh pihak sekolah dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Inisiatif itu amat penting bagi pihak sekolah bagi memastikan kesemua 180 komputer termasuk 86 komputer bestari terus berfungsi dan tidak menjejaskan latihan serta melenyapkan motivasi guru yang mengajar. Mengenai pelantikannya ke JUSA C Rokiah berkata, ia merupakan pengiktirafan kecemerlangan sekolahnya. ``Pelantikan ini merupakan kejayaan kerja berpasukan dan pengiktirafan kecemerlangan institusi ini bukan pengetua seorang, pengetua tidak boleh menjadi pemimpin yang cemerlang jika tiada pengikut yang cemerlang'' katanya.
|







