Jusa C dan gred Khas : Kementerian Pelajaran umum penerima11/01/2005 12:13 p.m.Oleh MARZITA ABDULLAH
SEBANYAK 28 guru pakar dan lima pengetua menerima `bonus' awal tahun dari Kementerian Pelajaran setelah terpilih untuk menerima kenaikan pangkat Gred Khas C dan JUSA C. Pengetua yang terpilih untuk kenaikan pangkat JUSA C ialah Tengku Azuan Tengku Mohamed dari Sekolah Menengah (SM) Seri Puteri, Cyberjaya, Khuzaimah Sulaiman (SM Kebangsaan Agama Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban) dan Rokiah Alias dari Kolej Tunku Khursiah, Seremban. Turut terpilih ialah pengetua dari SMK Putrajaya Persint 8, Che Manis Ismail dan bekas Pengetua SM Teknik Tawau, Sabah, Mary Yap Kain Ching. Bagi kenaikan pangkat Gred Khas C sebanyak empat guru pakar bahasa Melayu dipilih, guru pakar bahasa Inggeris (3), guru pakar Matematik (3), guru pakar Sains (2), guru pakar Biologi (1), guru pakar Kimia (2), guru pakar Fizik (4), guru pakar Sejarah (2), guru pakar Pendidikan Islam (2), guru pakar Matematik Tambahan (1), guru pakar Geografi (3) dan seorang guru pakar Ekonomi. Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran di Putrajaya, baru-baru ini. Bagaimanapun menurut beliau, kesemua guru yang dinaikkan pangkat terpaksa menunggu sehingga enam bulan bagi pengesahan jawatan baru masing-masing. ``Ini merupakan prosedur biasa bagi kakitangan kerajaan sebelum pengesahan jawatan dan buat masa ini mereka memangku tugas masing-masing,'' katanya. Namun begitu katanya, kenaikan jawatan yang lebih tinggi adalah tertakluk kepada kekosongan bagi jawatan masing-masing. Sementara itu Hishammuddin mengingatkan guru-guru dan pengetua yang menerima kenaikan pangkat itu supaya tidak memikirkan pulangan kewangan yang diterima. ``Bagi pengetua, mereka dipilih kerana ketokohan, kemahiran dan kaliber mereka dan jangan jadikan pulangan kewangan sebagai sesuatu yang mengelabui daya kepemimpinan masing-masing,'' katanya.
Menurut beliau, semua pengetua yang menerima kenaikan pangkat JUSA C adalah layak mendapat imbuhan yang sama seperti mana-mana kakitangan kerajaan yang setaraf. Ini bermakna para pengetua yang terpilih bakal menerima pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dengan mengambil kira gaji dan elaun tersebut. Tangga gaji permulaan bagi jawatan JUSA C ialah RM6,135.80 dan mereka juga layak menerima kemudahan sebuah kereta Perdana serta pemandu. Selain itu, mereka turut layak menerima elaun perumahan sebanyak RM1,300 sebulan serta cuti rehat sebanyak 30 hari bagi yang telah berkhidmat kurang daripada 10 tahun atau 35 hari bagi yang berkhidmat genap 10 tahun. Kelayakan wad pula ialah kelas 1 (bilik seorang) dengan bayaran wad sehari sebanyak RM10 sehari. Tegas Hishammuddin, Skim Perkhidmatan Pendidikan merupakan yang terbaik berbanding skim perkhidmatan yang lain dalam perkhidmatan sektor awam. Katanya, warga pendidikan mempunyai peluang-peluang kenaikan pangkat seperti guru cemerlang dan pengetua cemerlang, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan yang tidak dinikmati oleh mana-mana penjawat awam. Namun begitu katanya, kementerian berkenaan akan terus meneliti keperluan untuk mengadakan beberapa insentif lain untuk golongan guru.
|





