Sekolah Tinggi Muar kaya unsur-unsur nostalgik15/07/2003 10:42 a.m.Tukiran Kitam
SELAIN daripada pernah melahirkan pemimpin politik berwibawa, diplomat, tokoh korporat dan cendekiawan negara, Sekolah Tinggi Muar yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-100 tahun lalu mempunyai keunikan tersendiri. Misalnya, reka bentuk bangunan peninggalan penjajah Inggeris yang didirikan di kawasan seluas dua hektar di kawasan `elit' Bandar Maharani, Muar, mempunyai reka bentuk menarik dan mengkagumkan. Walaupun kerajaan negeri Johor telah memugar semula bangunan tersebut dengan perbelanjaan RM1.5 juta untuk dijadikan sebagai salah sebuah bangunan warisan namun, struktur asalnya masih kukuh dan tidak berubah. Keunikan reka bentuk bangunan itu bertambah terserlah apabila pengurusan sekolah bertindak menceriakan setiap ruang kosong di celah antara bangunan dengan taman-taman hijau atau landskap yang menarik. Walaupun usaha itu baru sahaja bermula iaitu sempena ulang tahun ke-100 sekolah tersebut, tetapi hasilnya amat memberangsangkan. Malah tidak keterlaluan, sesiapa sahaja yang memasuki pekarangan sekolah yang penuh nostalgik itu akan merasa tenang dan tenteram. Seperti kata Guru Penolong Kanan sekolah itu, Radi Yahya, kejayaan tersebut sebenarnya adalah hasil daripada inisiatif 88 orang guru, 15 orang petugas sekolah dan 1,472 orang pelajar sekolah itu. "Lebih membanggakan, setiap reka cipta landskap di kawasan sekolah ini adalah hasil ciptaan guru-guru sendiri. Mereka sanggup memerah otak dan keringat menjayakan projek hingga jauh malam," ujarnya. Semangat dan usaha yang tinggi itu mendapat sokongan daripada banyak pihak termasuk bekas-bekas pelajar sekolah tersebut yang kini menjawat jawatan tinggi sama ada dalam kerajaan dan sektor korporat. Antara mereka ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya adalah bekas pelajar sekolah tersebut. "Kedua-dua pemimpin ini kerap memberi bantuan untuk menjayakan program kami selain daripada bekas-bekas pelajar lain yang menganggotai Persatuan Bekas Pelajar Sekolah ini," tambahnya. Selain daripada mereka, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan persatuan-persatuan sukarela dan beruniform di sekolah juga terbabit sama dalam menjayakan tugas tersebut. Sebenarnya kata Radi, keprihatinan mereka itu telah membantu usaha sekolah dalam mewujudkan keindahan dan keceriaan.
Ini kerana, usaha mengindahkan kawasan yang padat dengan bangunan bukan satu perkara mudah. Ia memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Begitu juga dari segi menjamin keselamatan pelajar, tanggungjawab memastikan keselamatan mereka juga tidak mudah direalisasikan kerana bangunan tersebut dikelilingi jalan- jalan raya yang sentiasa sibuk dengan kenderaan. Untuk ini katanya, pelajar-pelajar telah menubuhkan Persatuan Keselamatan Jalan Raya di mana mereka mengadakan jadual tugas mengawal lalu lintas terutama di sebelah pagi dan tengah hari. "Kita mengadakan dasar melintas jalan sendiri semata-mata mahu menentukan pelajar selamat daripada terbabit dalam kemalangan semasa berada di sekolah," ujarnya. Menurut Radi, aspek lain pula, sekolah mendapat kerjasama rapat dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah program anak angkat. Sekolahnya telah dijadikan anak angkat kepada Deputi Supritendan Fauzi Nayan yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar. Di bawah bimbingan DSP Fauzi, sedikit sebanyak pihaknya telah berjaya membantu menanamkan rasa cinta pelajar terhadap sekolah. Mengenai rancangan masa depan sekolah beliau memberitahu, pihaknya akan membina lebih banyak pondok-pondok bacaan di di celah bangunan sekolah bagi menggalakkan pelajar membaca buku sewaktu berehat. Mengenai pencapaian sekolah itu dalam bidang akademik, ia tidak perlu dipertikaikan lagi apabila setiap tahun muncul antara sekolah yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pencapaiannya di jangka akan terus meningkat sejajar dengan taraf sekolah tersebut sebagai salah sebuah Sekolah Perdana di negara ini. Fakta sekolah: Sekolah Tinggi Muar Guru Penolong Kanan: Radi Yahya Guru: 88 orang Pelajar: 1,472 orang Kakitangan sokongan: 15 orang Keluasan: 2 hektar
|






