PROGRAM 3K
SK Palong Dua `Umpan' pelajar ke sekolah dengan 3K

SK Palong Dua `Umpan' pelajar ke sekolah dengan 3K

26/06/2003 11:52 a.m.

Azman Che Man

Ruang antara bangunan sekolah tidak dibiarkan kosong, sebaliknya dihias indah.

+

PROGRAM Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K) memberi peluang kepada mana-mana sekolah yang terpilih merasai hakikat bahawa keceriaan itu sememangnya ada dalam pendidikan.

Tanpa mengira dalaman mahu pun luaran, program 3K dilihat mampu menyerlahkan keceriaan sesebuah sekolah yang menyertainya menerusi penekanan kepada meningkatkan tiga aspek utama program tersebut.

Sesebuah sekolah yang `ceria' dari pelbagai segi bukan sahaja sedap dipandang mata atau dibanggakan oleh warga dan masyarakat sekitarnya, malah yang lebih penting ia juga mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.

"Bahkan, keceriaan dalam pendidikan juga merupakan nilai tambah kepada ilmu yang sepatutnya ada dalam diri setiap orang yang bergelar pelajar," kata Mohd. Azmi Aban, 42, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Palong Dua, Gemas yang menjadi calon bagi kategori sekolah rendah ke pertandingan program 3K peringkat kebangsaan mewakili Negeri Sembilan.

Menyedari hakikat itulah katanya, beliau dan tenaga pengajar SK Palong Dua `berusaha keras' dan memberikan tumpuan untuk mewujud serta mengekalkan aspek-aspek yang boleh menimbulkan keceriaan kepada sekolah itu.

"Bagi saya, minat murid kita mulakan dulu kerana apabila mereka minat untuk datang ke sekolah, dalam keadaan sekolah yang ceria, dari situ kita dapat `tarik' mereka lebih jauh kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam kelas," jelasnya.

Beliau berkata, kesan daripada usaha menyediakan sekolah yang ceria bagi menimbulkan minat kepada pelajar untuk ke sekolah dapat dilihat apabila pencapaian akademik SK Palong Dua dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menunjukkan lonjakan yang ketara.

Ini terbukti antaranya dengan peningkatan peratusan pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2002 kepada sebanyak 15.8 peratus.

Tambahnya, konsep ceria yang diterapkan di sekolah itu yang kemudiannya ditambah nilainya menerusi pelaksanaan program 3K juga telah berjaya membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam pencapaian kokurikulum pelajar.

Mohd. Azmi berkata, dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh pelajar sekolah itu sama ada dalam bidang akademik atau kokurikulum, golongan ibu bapa mula menunjukkan keyakinan kepada pihak sekolah.

Hasilnya, kata beliau, semua perancangan dan program yang akan atau telah dilaksanakan oleh pihak sekolah mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada ibu bapa.

Mengulas mengenai persediaan sekolah itu sebagai peserta program 3K, Mohd. Azmi berkata, tidak banyak yang perlu dilakukan kerana konsep sekolah ceria, aman dan bersih seperti yang ditekankan dalam program itu telah pun dilaksanakan di sekolahnya.

Sebelum terpilih sebagai peserta program 3k, katanya, konsep sekolah ceria, aman dan bersih telah pun dilaksanakan di SK Palong Dua sebagai maklum balas kepada kehendak Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan.

Gerbang utama SK

Pada peringkat itu, katanya, SK Palong Dua berdepan dengan 10 buah lagi sekolah `pesaing' dari sekitar Palong yang turut berusaha keras untuk mewujudkan konsep sekolah yang ceria, aman dan bersih.

"Kemampuan yang dimiliki oleh sekolah ini untuk bersaing dengan 10 buah sekolah tersebut menambahkan keyakinan bahawa kami boleh pergi lebih jauh termasuk menyertai pertandingan program 3K di peringkat kebangsaan," jelasnya.

Selain itu, katanya, kejayaan SK Palong Dua meraih tempat kedua dalam pertandingan program 3K peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2002 menambahkan lagi keyakinan warga sekolah itu untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

"Yang paling penting, kami dapati kebanyakan program yang dilaksanakan oleh sekolah kami setakat ini seiring dengan program 3K sama ada dalam bidang akademik atau kokurikulum," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi memberitahu, program 3K yang dilaksanakan di sekolah itu bukan sahaja telah berjaya menambahkan keindahan dan keceriaan sekolahnya, malah turut merapatkan hubungan sesama pihak sekolah dan juga dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat.

Sementara itu, Mohd. Azmi menegaskan, sasaran utama dan terakhir di sebalik segala persiapan dan usaha yang dilakukan untuk melaksanakan program 3K ialah kecemerlangan pelajar itu sendiri.

"Mercu tanda Kota A' Famosa misalnya, selain memberi peluang kepada pelajar yang tidak berpeluang melawat ke situ untuk mengenalinya, ia juga mempunyai aspek pembelajaran dari segi kaitannya dengan mata pelajaran kajian tempatan," jelasnya.

Selain Kota A'Famosa, Taman Mercu Tanda turut mengandungi bangunan berkembar KLCC yang menyediakan maklumat mengenai sistem komunikasi kepada pelajar dan bangunan Parlimen yang mana peranannya sebagai pusat pentadbiran perlu diketahui oleh pelajar.

Selain penuh dengan informasi, kedudukan taman-taman mercu tanda di sekeliling sekolah itu menambahkan lagi keindahan dan keceriaan persekitaran SK Palong Dua.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi berkata, selain taman tersebut, landskap SK Palong Dua turut diserikan dengan keindahan Taman Nostalgia yang turut memberi penekanan kepada aspek pembelajaran kepada pelajar.

Katanya, mesin getah yang diletakkan di taman itu secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pelajar tentang keperitan yang dilalui oleh generasi penoreh getah pada zaman dulu.

Sebagai `lambang' kepada keperitan ibu bapa, taman itu juga diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar untuk menghargai keperitan yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa untuk memberi pendidikan mereka.

"Dengan kata-kata `adakah anda ingin mewarisinya', kita harap kewujudannya sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelajar demi masa depan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap, pelaksanaan program 3K bukan sahaja akan dapat menceriakan lagi keindahan SK Palong Dua, malah dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap kemudahan sekolah di pedalaman terutama di kawasan Palong.

---------------------------------------------------------------------

Fakta Sekolah: Sekolah Kebangsaan Palong Dua, Gemas, Negeri Sembilan

Guru Besar: Mohd. Azmi Aban

Guru: 23 orang

Murid: 313 orang

Keluasan: 6 hektar

----------------------------------------------------------------------

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :  
Kata Laluan :
IKLAN@TUTOR
Pakej Pembelajaran Online
Elab
Utusan Online
USIK-USIK
CARIAN