Konsep Bilik darjah Bersepadu01/01/2002 2:26 p.m.Oleh: DR. ISMAIL ZAIN (driszain@hotmail.com) Soalan 1: Untuk memulakannya sukalah saya menerangkan terlebih dahulu ruang lingkup teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam konteks situasi pengajaran pembelajaran (P&P) di bilik darjah. Proses P&P pada asasnya berkehendakkan seseorang guru berkemahiran mengaplikasikan pelbagai media untuk dijadikan sebagai media pengajaran (instructional media) ke arah memudahkan pemahaman di kalangan pelajar dalam proses memperjelaskan sesuatu konsep pembelajaran secara lebih berkesan. Media pengajaran pula merupai pelbagai jenis media sama ada ianya menggunakan teknologi yang rendah (dari penghasilan kertas lembaran kerja, kepingan transparensi dsb.) hinggalah ke tahap penggunaan teknologi tinggi (perkakasan dan perisian komputer, e-pembelajaran dsb). Ini bermakna dalam proses menimba ilmu dan memberi pemahaman pembelajaran kepada pelajar-pelajar guru bersama pelajar harus mampu meneroka pelbagai kaedah, teknik dan aktiviti secara menyeluruh dan bersepadu setiap masa dalam bilik darjah. Bagaimanakah peranan makmal-makmal komputer di sekolah-sekolah dan sejauh mana ia berperanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Penubuhan dan pembinaan makmal-makmal komputer di sekolah-sekolah adalah merupakan satu perkembangan yang baik yang harus dipuji ke arah memperlengkapkan prasarana ICT di sekolah-sekolah serta sebagai satu lagi penambahan gedung ilmu. Perkataan "makmal" mengingatkan kita beberapa gedung ilmu yang lain yang terdapat di persekitaran sekolah seperti "makmal sains" dan "pusat sumber sekolah." Makmal sains berfungsi untuk membuat eksperimens atau ujikaji manakala pusat sumber berfungsi untuk membuat rujukan. Kedua-dua gedung ini hanya mampu memberi kemudahan kepada pelajar dalam jangka masa yang pendek iaitu ketika pelajar berada di tempat tersebut mengikut penjadualan yang disediakan. Manakala pembelajaran yang sepenuhnya berlaku di bilik-bilik darjah. Situasi yang sama akan berlaku di makmal-makmal komputer ialah pelajar bersama guru akan berada di makmal-makmal komputer hanya pada masa-masa yang tertentu serta menggunakan perisian-perisian yang tertentu sahaja dalam proses P&P. Dalam erti kata yang lain guru serta pelajar mungkin tidak berkesempatan menggunakan pelbagai kaedah, teknik dan aktiviti disebabkan kekangan masa yang diperuntukan serta kurangnya mobiliti pelajar. Dalam masa yang sama pendedahan ICT kepada pelajar hanya akan terbatas di makmal-makmal komputer sahaja sedangkan apabila mereka balik ke bilik darjah masing-masing suasana pembelajaran akan berlaku secara tradisional kecuali jika kita dapat wujudkan satu persekitaran bilik darjah yang bersepadu. Apakah yang dimaksudkan dengan bilik darjah bersepadu? Sejauhmanakah pada pandangan Dr. ianya mampu memberi pendedahan ICT yang lebih menyeluruh kepada guru dan pelajar? Bilik darjah bersepadu membawa beberapa maksud serta bercirikan seperti berikut:-
i. Kepelbagaian kemudahan perkakasan dan perisian Guru boleh memperlengkapkan pelbagai perkakasan dan perisiaan mengikut kemudahan yang tersedia ada serta mengikut kemampuan kewangan. Dari segi perisiannya guru boleh memulakan dengan membuat koleksi pelbagai jenis bahan grafik termasuk gambar, keratan akhbar model dan lain-lain yang saya rasa koleksi begini memang pun sudah wujud di setiap bilik darjah. Selain dari ini guru juga harus membuat koleksi bahan audio, video, CD-ROM serta menyenaraikan laman web. Walaupun perisian ini sudah ada di pusat sumber masing-masing tetapi mengikut konsep bilik darjah bersepadu ianya perlu dilengkapi di bilik darjah untuk digunakan dalam proses P&P. Manakala perkakasannya pula di antaranya terdiri daripada pemain kaset/radio, TV, OHP dan komputer (bilangannya mengikut kemampuan). ii. Kepelbagaian aktiviti Guru seharusnya mampu mengintegrasikan pelbagai strategi pengajaran dengan kemudahan pelbagai media yang disediakan. iii. Kepelbagaian fungsi Kepelbagaian fungsi bermaksud bilik darjah bukan sahaja digunakan sebagai tempat untuk guru dan pelajar berinteraksi dalam satu-satu mata pelajaran tetapi juga untuk pelajar berinteraksi sesama mereka, sebagai tempat rujukan, perbincangan, menyelesaikan tugasan dsb. Malah ianya boleh dianggap sebagai pengintegrasian bilik sumber, bilik komputer dan bilik pengajaran. Berapa lamakah konsep bilik darjah bersepadu ini dapat dilengkapkan dan siapakah pula yang bertanggungjawab mengelola dan mengendalikan bilik ini? Konsep bilik darjah bersepadu ini dari segi proses perlengkapannya adalah secara berterusan dan tidak ada batasan jangka masanya. Ianya bergantung pada kemampuan pihak sekolah masing-masing dan perlu diusahakan oleh pihak sekolah sendiri. Pada pandangan saya setiap bilik darjah sudahpun dilengkapi sekurang-kurangnya 50% bahan p&p. Ini sudah cukup untuk memulakan konsep bilik darjah bersepadu. Penambahan perisian dan perkakasan boleh dilakukan sepanjang masa. Jika pelajar dilatih menjaga kebersihan bilik darjah masing-masing melalui pelbagai tugas harian yang disenaraikan, tidak ada sebab pelajar-pelajar tidak dapat dilatih untuk mengelola dan mengendalikan bilik darjah bersepadu ini bersama-sama dengan guru mereka masing-masing. Adakah keberkesanan pembelajaran bergantung kepada kelengkapan di bilik darjah atau adakah apa-apa faktor lain yang mempengaruhinya? Kelengkapan sama ada dari aspek fizikal atau pun dari segi materialnya adalah faktor yang menyumbang ke arah keberkesanan proses p&p. Walau bagaimanapun peranan guru adalah penting. Segala perkakasan tidak akan memberi makna dan akan menjadi "gajah putih" sekiranya guru tidak memainkan peranannya. Ini bukan bermakna pembelajaran harus "berpusatkan guru", tetapi guru sebagai fasilitator untuk menentukan hala tuju proses pembelajaran. Malah di zaman serba canggih ini, mengikut seorang pengarang Schweizer H. (1999) dalam bukunya "Designing and Teaching an On-Line Course" dimana pembelajaran boleh berlaku secara virtual, perjumpaan secara bersemuka adalah digalakkan juga ke arah mewujudkan pemahaman dan perhubungan sosial 2 hala. Dalam hal ini guru harus memahami aspek-aspek pedagogi serta konsep pembelajaran bestari serta dapat mengintegrasikannya bersama-sama dengan perkembangan teknologi dalam proses p&p. Dapatkah Dr. memberi satu contoh di mana konsep bilik darjah bersepadu ini dapat memainkan peranannya dalam proses p&p. Sebagai contoh jika seseorang guru ingin pelajar-pelajarnya memperolehi maklumat tentang haiwan iaitu harimau dalam pelajaran sains umpamanya, guru boleh menggunakan kaedah kontruktivisme di mana pelajar diminta meneroka sendiri maklumat tentang harimau sebelum membuat apa-apa andaian. Guru boleh membahagikan pelajarnya mengikut kumpulan di mana setiap kumpulan mempunyai tugasan untuk mendapat maklumat tentang haiwan tersebut melalui media yang berbeza mengikut giliran masing-masing seperti mencari maklumat melalui keratan akhbar, melalui buku rujukan, ensaiklopedia, melalui CD-ROM atau melayari internet. Ini bermakna pelajar telah didedahkan dengan pelbagai cara untuk mengakses maklumat untuk dijadikan bahan penyelidikan serta perbicangan dalam bilik darjah. Guru atau pelajar boleh menggunakan bahan perisian komputer untuk membuat persembahan atau melalui tayangan kepingan transparensi. Jadi di sini jelas terdapatnya pengintegrasian pelbagai media untuk dijadikan satu cara mengakses maklumat.
Apakah kepentingan dan kekuatan yang ada pada bilik darjah bersepadu jika dibandingkan dengan makmal komputer? Sebenarnya kedua-dua bentuk kemudahn ini mempunyai kekuatannya sendiri serta saling lengkap melengkapi. Oleh kerana bilangan komputer yang terdapat di makmal-makmal komputer banyak, maka setiap pelajar mampu berhadapan dengan sebuah komputer seorang untuk dijadikan bahan rujukan atau membuat latihtubi. Manakala bilik darjah bersepadu mempunyai kekuatannya sendiri seperti berikut: (a) Penggunaan perkakasan dan perisian berlaku sepanjang masa, walaupun ianya bukanlah dikhaskan untuk setiap pelajar, tetapi jumlah komputer boleh ditambah mengikut kemampun untuk membolehkan ramai bilangan pelajar mengakses maklumat dalam satu masa. (b) Jika di makmal komputer hanya beberapa orang guru sahaja yang akan ditugaskan untuk mengawasi makmal tersebut tetapi konsep bilik darjah bersepadu memberi rasa tanggungjawab dan keperihatinan kepada setiap guru dan pelajar. (c) Pendedahan penggunaan pelbagai jenis media termasuk komputer boleh berlaku secara serentak kepada semua pelajar di sekolah tersebut, sedangkan makmal komputer hanya mampu memberi pendedahan dan penggunaan kepada hanya 1 atau 2 kumpulan pelajar dalam satu masa. (d) Dalam hal ini makmal komputer mungkin memerlukan guru-guru memilih dan merancang topik-topik yang tertentu sahaja untuk digunakan pada 1 atau 2 waktu dalam masa seminggu. Sedangkan bilik darjah bersepadu memberi peluang seluas-luasnya untuk digunakan setiap hari dan setiap masa, Cuma guru harus juga merancang agar penggunaanya mengikut prosedur yang tertentu. Ini bermakna proses "membudayakan" guru dan pelajar terhadap penggunaan media khususnya komputer dapat diperluas dan dipercepatkan. Apakah harapan Dr. tentang konsep bilik darjah bersepadu dan apakah faktor yang boleh menentukan kejayaannya? Harapan saya ialah supaya konsep bilik darjah bersepadu ini dapat dikaji untuk diaplikasikan di sekolah disamping terbinanya makmal-makmal komputer di sekolah. Bayangkan jika sesebuah sekolah dibekalkan dengan 40 buah komputer, buat permulaannya jika ditempatkan sebuah bilik darjah dengan 2 buah komputer berserta dengan peralatan lain, maka sebanyak 20 buah bilik darjah berserta pelajarnya dapat menggunakan komputer sebagai media dalam proses p&p secara serentak. Faktor yang penting untuk menentukan kejayaannya ialah komitmen guru dalam merancang serta menggunakannya secara lebih intensif, pihak pentadbir sekolah dalam memberi sokongan terhadap pelaksanaannya, serta kerjasama pelajar-pelajar untuk bersama-sama berkongsi maklumat dan mempastikan perlalatan ini dapat digunakan dan berada dalam penjagaan yang baik.
|




