KUTKM Menang anugerah antarabangsa18/03/2004 11:18 a.m.
KOLEj Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) kini mula dikenali diperingkat global apabila sekumpulan penyelidiknya yang membentangkan projek robot maya berteknologi kepintaran buatan, dianugerahkan `New Innovation Award 2004' oleh `The International Association of Science and Technology for Development' sempena persidangan antarabangsa 'The International Conference on Neural Network and Computational Intelligence' di Switzerland pada bulan lalu. Anugerah itu diberikan sempena dengan kreativiti dan inovasi baru dalam penyelidikan yang dibentangkan oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), KUTKM, Profesor Madya Goh Ong Sing, dalam kertas kerja bertajuk 'An Intelligence Virtual Financial Advisor System' dengan mengaplikasikan Artificial Intelligence Neural-Network Indentity (AINI) dalam bidang perbankan. Beliau kemudiannya telah mempengerusikan sesi `Applications of Neural Networks and Computational Intelligence' pada persidangan tersebut. AINI merupakan robot maya pintar yang dibangunkan dengan menggunakan teknologi kepintaran buatan. Ia boleh berinteraksi dengan para pengguna komputer peribadi, Pocket PC atau telefon mudah alih melalui Internet dengan melayari press.kutkm.edu.my atau www.ainibot.com. Beliau telah menerima anugerah tersebut pada persidangan itu yang berlangsung di Grindelwald, Switzerland pada 23 hingga 25 Februari lalu. Menurut Goh, pengiktirafan itu diberikan kepada keunikan AINI yang dilengkapi secara bersepadu perwatakan tiga dimensi, teknologi pertuturan serta kepintaran buatan (artificial intelligent) dan fleksibel yang boleh diaplikasi pada komputer peribadi, Pocket PC, malah telefon mudah alih. ``Paling utama, robot maya pintar ini juga berpotensi dijadikan penasihat e-pembelajaran, e-kerajaan, e-perubatan, e-perniagaan dan sebagainya,'' tambahnya. Ini membuktikan walaupun dalam usia tiga tahun, visi KUTKM mula tercapai iaitu untuk menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia. Anugerah itu adalah yang ketiga diterima oleh KUTKM dan ini secara tidak langsung telah mengiktiraf pencapaian KUTKM dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat antarabangsa. Sebelum ini Goh dan kumpulan penyelidiknya telah muncul sebagai IPTA tunggal yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan MSC-APICTA iaitu Asia Pacific ICT Award 2003 dalam kategori penyelidikan dan pembangunan. R&D mereka juga telah memenangi tempat pertama Pertandingan Microsoft Asia Student.net, sekali gus terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan akhir peringkat Asia di Beijing, China pada Februari 2003. Sementara itu, Rektor KUTKM, Prof Datuk Dr Mohd Ruddin Abdul Ghani berkata, kemenangan itu selaras hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bidang penyelidikan rantau ini. ``Kemenangan ini jelas membuktikan KUTKM begitu komited dalam bidang penyelidikan dan ia akan terus diberi keutamaan dalam usaha menghasilkan lebih banyak bahan penyelidikan berkualiti dan penghasilan aplikasi yang kreatif dan inovatif dengan menghasilkan robot maya Aini'', katanya. Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi KUTKM, Profesor Dr. Mohammad Ishak Desa berkata, AINI merupakan gabungan teknologi kepintaran buatan, Internet dan multimedia serta mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records, sebagai Program Robot Interaktif Pertama Malaysia. Tambahannya lagi, penyelidikan AINI juga telah mendapat tempat di Cyberjaya TV iaitu TV Internet pertama di Malaysia yang menyiarkan siarannya kepada 18 buah negara baru-baru ini. Mereka telah menjemput Goh dan Timbalan Dekan Akademik, Profesor Madya Dr. Shahrin Sahib sebagai panel forumnya dalam memperkenalkan produk-produk ICT ciptaan Malaysia. ''R&D yang dijalankan di KUTKM bukan sahaja telah mendapat tempat dalam pertandingan, malah juga telah menarik minat syarikat-syarikat multimedia dan hiburan mengaplikasikan teknologi Aini dalam perniagaan mereka,'' ujar Dekan Pusat Universiti Industri (UNIC), Prof. Dr. Mohamad Kadim Suaidi. Menurutnya, antara syarikat berkenaan ialah Maya Artificial Intelligent (MAI) Sdn. Bhd dan KRU Berhad, yang telah pun memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan KUTKM dalam penghasilan aplikasi kepintaran buatan, kandungan multimedia, perkhidmatan mudah alih dan sebagainya. Selain daripada itu, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Istari Technologies yang terkenal dengan berita inovasi terkini juga telah melaporkan kejayaan ini di dalam laman web mereka di http://www.istaritechnologies.com. Begitu juga telah American Association for Artificial Intelligence (AAAI) yang telah memberi liputan dan pengiktirafan ciptaan anak watan Malaysia ini pada laman web mereka di http://www.aaai.org.
|




