Bahan disediakan oleh guru-guru jurulatih utama & guru cemerlang serta memenuhi format peperiksaan terkini!
Nota
Latihan
P&P
Tip
Rancangan Mengajar
Bank Soalan

  STPM > Ekonomi Bahan Arkib 2002
TIP PMR

KERTAS2 : MAKROEKONOMI
Perakaunan Pendapatan Negara

Nota 

Pengenalan 

Pada minggu lepas kita telah membincangkan bagaimana pendapatan negara di hitung di kebanyakan negara. Pada minggu ini, perbincangan kita akan menfokuskan kepada perkara-perkara berikut, iaitu:

 

a.      Penghitungan pendapatan negara di Malaysia.

b.      Masalah dalam menghitung pendapatan negara.

c.      Kelemahan dalam menggunakan data pendapatan negara.

d.      Kegunaan data pendapatan negara.

 

 

Penghitungan pendapatan negara di Malaysia 

Semenjak tahun 1972, Malaysia telah menggunakan dua kaedah dalam menghitung pendapatan negara. Kaedah tersebut adalah:

 

a.      Kaedah perbelanjaan.

b.      Kaedah pengeluaran.

 

Menurut kedua-dua kaedah ini, nilai pendapatan negara yang di perolehi adalah dalam harga pasar.

 

A.     Kaedah perbelanjaan 

Dalam kaedah ini, setiap item perbelanjaan adalah dinilai mengikut harga semasa dan harga tetap. Berikut adalah contoh penghitungan pendapatan negara dengan menggunakan kaedah perbelanjaan pada harga semasa.

 

            Jenis perbelanjaan                                                 Nilai perbelanjaan (RM juta)

 

1.      Perbelanjaan penggunaan

a.      Awam                                                                   20,884

b.      Swasta                                                                 81,978

 

2.      Pembentukan modal tetap kasar

a.      Awam                                                                   18,632

b.      Swasta                                                                 36,836

 

3.      Perubahan dalam stok                                                          362

 

4.      Eksport bersih

a.      Eksport barang dan perkhidmatan                                     133,181

b.      Import barang dan perkhidmatan                                     125,082   

 

KDNK hp                                                                166,791

 

5.      Pendapatan faktor bersih dari luar negeri                       - 7,816

 

KNK hp                                                                   159,043

Menurut kaedah ini, kita mempunyai perbelanjaan ‘perubahan dalam stok’. Perubahan dalam stok ini di hitung dengan menolakkan stok akhir tahun dengan stok awal tahun. Untuk mendapatkan KDNK hp kita perlu menjumlahkan perbelanjaan penggunaan, pelaburan, perubahan dalam stok dan eksport bersih.

Untuk mendapatkan KNK hp pula kita perlu jumlahkan KDNK hp dengan PFbLN.

 

B.     Kaedah pengeluaran 

Menurut kaedah ini, nilai keluaran dari setiap sektor ekonomi di hitung pada harga tetap. Berikut adalah contoh pengiraan pendapatan negara dengan menggunakan kaedah ini.

 

                        Sektor ekonomi                                             Nilai keluaran (RM juta)

 

1.      Pertanian, perhutanan dan perikanan             15,895

2.      Perlombongan                                                                   7,991

3.      Perkilangan                                                        30,216

4.      Pembinaan                                                             4,013

5.      Kuasa, elektrik, gas dan air                                         2,153

6.      Perhubungan dan pengangkutan                                      7,132

7.      Perdagangan, hotel dan restoran                            12,315

8.      Kewangan dan harta tanah                                             10,664

9.      Perkhidmatan kerajaan                                          9,892

10. Perkhidmatan lain                                                 2,125

Tolak : Bayaran perkhidmatan bank                                           6,021 

Campur : Cukai import.                                                                4,100

 

            KDNK hp                                                                                100,475

 

Untuk mendapatkan nilai KDNK hp, kita perlu menjumlahkan nilai tambah yang di wujudkan dari setiap sektor. Sektor ekonomi di atas boleh di bahagikan kepada kumpulan sektor ekonomi yang besar iaitu

a.      Sektor pertama – item 1 dan 2

b.      Sektor industri – item 3 hingga 5

c.      Sektor perkhidmatan – item 6 hingga 10.

 

 

Masalah dalam penghitungan pendapatan negara

Berikut adalah beberapa masalah penting dalam penghitungan pendapatan negara iaitu:

 

a.      Masalah mengumpulkan maklumat 

Di kebanyakan negara, data yang di perlukan tidak di rekod atau di simpan dengan baik. Oleh itu kebanyakan data yang di perlukan di buat secara anggaran sahaja dan tidak tepat.

 

b.      Memilih kegiatan yang nilainya dikira dalam pendapatan negara 

Ada negara memasukkan aktiviti-aktiviti yang salah di sisi undang-undang semasa menghitung pendapatan negara. Ada juga negara yang hanya mengambil kira kegiatan yang produktif dan di pasarkan semasa menghitung pendapatan negara. Ini bermakna kegiatan yang di lakukan sendiri tidak di ambil kira. Oleh itu terdapatmasalah untuk memilih kegiatan dalam menghitung pendapatan negara. 

c.      Masalah pengiraan dua kali

 

Masalah ini wujud kerana sukar menentukan sama ada barang tersebut merupakan barang akhir atau barang peralihan.

 

d.      Menentukan harga barang 

Harga barang sering berubah setiap masa. Oleh itu sukar untuk menentukan harga mana yang perlu di gunakan untuk menilai keluaran sesuatu barang semasa menghitung pendapatan negara.

 

e.      Pengiraan susutnilai 

Terdapat masalah untuk menentukan kaedah mana yang paling sesuai untuk mengira susut nilai. Juga terdapatnya masalah tiada rekod yang lengkap mengenai susut nilai di pelbagai kegiatan ekonomi.

 

f.        Masalah kenaikan harga dan perubahan kualiti 

Terdapat kenaikan nilai sesuatu barang kerana berlakunya kenaikan harga barang atau inflasi. Oleh itu, indeks harga telah di gunakan untuk mengatasi masalah ini. Tetapi terdapat masalah dalam mengira indeks harga. Hal ini menyebabkan pengiraan pendapatan negara dengan bantuan indeks harga tidak di kira dengan tepat. Selain itu kenaikan barang juga di sebabkan berlakunya perubahan kualiti barang. Oleh itu pengiraan pendapatan negara dengan menggunakan harga tetap tidak tepat kerana mengandaikan perubahan kualiti tidak mempengaruhi tingkat harga.

 

 

Kelemahan dalam menggunakan data pendapatan negara 

Terdapat beberapa kelemahan apabila membandingkan data pendapatan negara antara masa dan membandingkan pendapatan negara antara negara.

 

A. Kelemahan apabila membandingkan data pendapatan negara antara masa ialah:

 

  1. Kos dan sara hidup sesebuah negara.

Bagi negara yang beriklim sejuk, ia memerlukan kos yang tinggi ke atas makanan, pakaian dan belanja penginapan. Oleh itu KNK yang rendah dengan kos sara hidup yang rendah adalah lebih baik berbanding dengan negara yang mempunyai KNK yang tinggi tetapi mempunyai kos sara hidup yang tinggi.

 

  1. Jumlah penduduk, kenaikan harga dan imbangan perdagangan.

 

Jika menggunakan pendapatan per kapita sebagai pengukur taraf hidup, maka KNK yang tinggi tidak semestinya mempunyai taraf hidup yang tinggi. Ia tinggi mungkin kerana mempunyai ramai bilangan penduduknya.

Kenaikan harga barang juga boleh menyebabkan KNK yang tinggi. Oleh itu negara yang mempunyai KNK yang rendah tetapi tidak berlaku kenaikan harga, kemungkinan mempunyai taraf hidup yang lebih baik

 

Imbangan perdagangan juga perlu di ambil kira untuk mengukur taraf hidup. Jika sesebuah negara mempunyai KNK yang rendah tetapi tidak terlalu bergantung kepada ekonomi luar adalah lebih baik taraf hidupnya kerana ekonomi negara adalah lebih stabil.

 

B. Kelemahan membandingkan pendapatan negara antara negara 

Data pendapatan negara sering di gunakan untuk membandingkan taraf kemakmuran antara negara-negara iaitu dengan membandingkan pendapatan per kapita di pelbagai negara. Namun terdapat kelemahan dalam membandingkan pendapatan negara antara negara dalam menentukan taraf kemakmuran, iaitu:

 

  1. Tidak mengambil kira pengagihan pendapatan.

Di kebanyakan negara agihan pendapatan tidak selalu setara. Oleh itu peningkatan pendapatan per kapita adalah di sebabkan peningkatan pendapatan golongan kaya yang tidak ramai bilangannya. Dengan itu pendapatan per kapita yang tinggi nilainya tidak semestinya melambangkan taraf hidup yang lebih baik.

 

  1. Masalah pengangguran dan peningkatan guna tenaga

Peningkatan pendapatan per kapita tidak semestinya menunjukkan penggunaan tenaga buruh adalah sepenuhnya. Oleh itu ada negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi tetapi mempunyai kadar pengangguran juga tinggi. Ini bermakna taraf hidup rakyatnya adalah rendah berbanding dengan negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang rendah tetapi mempunyai kadar pengangguran yang rendah juga.

 

  1. Perbezaan masa rehat.

Ada negara mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi kerana rakyatnya menggunakan sepenuh masa untuk bekerja. Oleh itu rakyatnya mempunyai kurang masa untuk berehat. Dengan ini kita tidak boleh mengatakan taraf hidup adalah lebih baik dari negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang rendah tetapi mempunyai masa rehat yang lebih lama. Ini kerana masa rehat perlu untuk menentukan taraf hidup.

 

  1. Corak perbelanjaan kerajaan

Terdapat negara yang memasukkan perbelanjaan ketenteraan dan angkasa lepas dalam pengiraan pendapatan negara. Oleh itu apabila menghitung pendapatan per kapita, nilainya tentu tinggi berbanding dengan negara yang mengambil kira perbelanjaan untuk memajukan kegiatan ekonomi. Dengan ini peningkatan pendapatan per kapita tidak menunjukan peningkatan taraf hidup kerana perbelanjaan tersebut tidak meningkatkan kemakmuran rakyatnya.

 

  1. Kos sosial seperti pencemaran udara, air dan udara

Semasa menghitung pendapatan negara, kita sering mengabaikan kos sosial yang di terima oleh masyarakat. Kos sosial yang tinggi akibat dari aktiviti pengeluaran akan mengurangkan taraf hidup rakyat sesebuah negara. Oleh itu pendapatan per kapita yang tinggi tidak semestinya taraf hidup juga tinggi kerana mengabaikan kos sosial.

 

 

Kegunaan data pendapatan negara 

Di antara kegunaan data pendapatan negara ialah:

 

a.      Alat pengukur jumlah keluaran pelbagai sektor dalam ekonomi 

Dalam kaedah pengeluaran, kita dapat melihat jumlah nilai keluaran dari pelbagai sektor dalam ekonomi. Oleh itu kita dapat membandingkan keluaran sektor mana yang lebih banyak.

 

b.      Alat pengukur kadar pertumbuhan ekonomi 

Dengan menggunakan harga tetap semasa menghitung pendapatan negara, kita dapat menentukan kadar pertumbuhan ekonomi negara berkenaan. Ini dapat di lakukan dengan membandingkan KDNK (KNK) benar tahun berkenaan dengan KDNK (KNK) benar sebelumnya.

 

c.      Asas untuk membuat perancangan ekonomi 

Dengan membandingkan jumlah keluaran dari pelbagai sektor, pihak perancang boleh menggunakan data tersebut untuk membuat perancangan ekonomi masa hadapan.

 

d.      Alat pengukur taraf hidup 

Untuk mengukur taraf hidup penduduk sesebuah negara, kita selalunya membandingkan pendapatan per kapita benar antara negara-negara. Untuk menghitung pendapatan per kapita benar kita menggunakan data KDNK (KNK) benar.

 

e.     Petunjuk perubahan struktur ekonomi 

Dengan membandingkan data pendapatan negara, kita dapat melihat perubahan yang berlaku ke atas struktur ekonomi sesebuah negara. Misalnya pada tahun 1970an negara kita hanya bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan sebagai sumber pendapatan negara. Tetapi kini sektor pembuatan dan perkhidmatan telah memainkan peranan penting dalam sumber ekonomi negara kita.

 

 

 


Latihan 

1. Terangkan cara menghitung keluaran negara dengan cara perbelanjaan seperti yang di gunakan di Malaysia pada masa ini.                                                                                                                                                         [10 markah]

 

2. “Dalam penghitungan pendapatan negara mengikut cara keluaran, pada hakikatnya cara yang di lakukan adalah mencampurkan nilai ditambah yang diwujudkan oleh pelbagai sektor ekonomi pada harga tetap”. Terangkan penyataan ini.                                                                                                                                                                                                                                                       [6 markah]

 

3.        Terangkan beberapa maklumat penting yang dapat di perolehi daripada data

 perakaunan pendapatan negara Malaysia.                                                       

                                                                                                                [6 markah]

 

4. Terangkan masalah-masalah utama dalam menghitung pendapatan negara pada satu-satu tahun tertentu.                                                                        

                                                                                                                         [10 markah]

 

5. Huraikan tiga kelemahan apabila menggunakan data pendapatan negara sebagai perbandingan taraf kebajikan antara negara.                               

                                                                                                                           [6 markah]

 

 

 

 

 



Cetak Muka Surat

 

TENTANG KAMI     |    HUBUNGI KAMI     |     PANDUAN       |     TERMA/SYARAT     |      CARIAN:

Portal Pendidikan Utusan 2001-2007 © Hak Cipta Terpelihara
UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, KUALA LUMPUR

 

Portal Pendidikan Utusan 2001-2005 © Hak Cipta Terpelihara
UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, KUALA LUMPUR