Latihan Karangan
| Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian kenal pasti ayat topiknya dan ayat-ayat sokongannya. Nyatakan idea utama ayat topik serta fungsi-fungsi ayat sokongannya. |
| 1. | Lebih enam bulan lalu, Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengumumkan bahawa Filipina bersetuju menerima tawaran Amerika Syarikat (AS) untuk membantu memerangi kumpulan Abu Sayyaf yang mengganas di selatan negara itu. Keputusan tersebut mendapat tentangan hebat khususnya daripada pembangkang dan para aktivis tempatan yang menyifatkan bantuan AS itu hanyalah bertujuan untuk memperluaskan kempen peringkat kedua memerangi pengganas di Asia Tenggara. Rakan-rakan Filipina dalam ASEAN juga menunjukkan rasa kurang senang dengan `lampu hijau' yang diberikan oleh Arroyo kepada tentera AS untuk kembali bertapak di rantau ini. Bagaimanapun Arroyo meneruskan juga hasratnya itu dan lebih 1,000 anggota tentera AS termasuk pasukan khas dan pakar-pakar ketenteraan dihantar ke Pulau Basilan tetapi dengan menggunakan nama `latihan bersama' sebagai mengelakkan sebarang kontroversi atau perlanggaran perlembagaan Filipina berhubung kehadiran tentera asing di negara itu. Askar-askar AS dikatakan hanya akan membantu tentera tempatan dalam operasi memburu kumpulan Abu Sayyaf tetapi tidak bergerak di barisan hadapan dan tidak akan menyerang melainkan atas alasan mempertahankan diri. Bagaimanapun pada minggu pertama ketibaan mereka, askar-askar AS yang disegani ini telah memeningkan kepala Arroyo apabila mereka dengan lagak sombong masuk ke bandar dengan berpakaian preman sambil membawa senjata di khalayak ramai. Lagak mereka ini menakutkan orang ramai serta menimbulkan bantahan keras daripada tokoh-tokoh politik tempatan hingga memaksa peraturan ketat dikenakan ke atas askar-askar AS yang hendak ke bandar. Sejak itu pelbagai lagi konflik timbul ekoran daripada kedatangan tentera AS di bumi Filipina. Saban hari ada saja demonstrasi diadakan bagi menunjukkan bantahan terhadap kehadiran mereka. Naib Presiden Filipina, Teofisto Guingona juga turut menjadi mangsa dalam konflik ini apabila beliau dipecat oleh Arroyo daripada jawatannya sebagai Setiausaha Luar kerana berselisih pendapat tentang kehadiran tentera AS itu. Kini setelah enam bulan berlalu, pasukan tentera AS akan pulang ke negara mereka tetapi Manila dan Washington sudah melontarkan cadangan untuk memanjangkan kempen mereka di Filipina. Setiausaha Negara AS, Colin Powell dijangka merundingkan perkara itu dalam lawatannya ke Filipina minggu ini. Ini adalah keputusan besar yang harus difikirkan oleh Arroyo dengan sebaik-baiknya sebelum memutuskan untuk melanjutkan kempen AS di negaranya. Arroyo juga tidak sepatutnya bersikap terlalu mementingkan diri dan mengetepikan begitu saja pandangan negara-negara jiran. Kehadiran tentera AS telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Manila. Yang terbaru, ahli Kongres, Satur Ocampo mendakwa askar AS telah menembak seorang lelaki tempatan yang disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf. Lelaki itu cedera ditembak dalam satu serbuan di rumahnya di Basilan, Khamis lalu. Insiden ini menimbulkan kemarahan rakyat Filipina. Ocampo mahu askar yang menembak lelaki tempatan itu dihadapkan ke jawatankuasa siasatan Kongres, manakala dua kumpulan berhaluan kiri mahu Powell ketika lawatannya ke Manila menyerahkan askar tersebut untuk menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah Filipina. Tentera AS dan Filipina menafikan askar AS menyertai serbuan itu, tetapi para aktivis sudah merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran sebelum dan semasa lawatan Powell sebagai membantah segala kepincangan yang berlaku. Apakah Arroyo sudah bersedia menelan segala kepahitan ini demi untuk memuaskan kehendak AS? |
| 2. | Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kelmarin melahirkan kebimbangannya terhadap ekstremisme berasaskan kaum di kalangan generasi muda yang semakin serius. Sebagai pemimpin yang banyak pengalaman asam garam kehidupan, beliau sudah nampak amalan memisah-misahkan diri mengikut kaum di kalangan masyarakat negara ini. Masyarakat kita kini ada yang sedar dan tidak kurang yang langsung tidak ambil peduli akan bahaya yang mungkin timbul daripada amalan atau budaya tidak menghormati perasaan kaum-kaum lain yang pada ketika tertentu dimainkan oleh sesetengah pertubuhan atau parti politik berasaskan kaum. Sebagaimana yang diingatkan oleh Dr. Mahathir bahawa apabila puak ekstremis daripada semua kaum semakin lantang menggalakkan perpisahan antara kaum dan mereka juga menentang sebarang usaha untuk mendekatkan antara kaum, maka kita khuatir hubungan generasi muda akan terus terpisah jauh. Jika kita kembali meninjau sejarah pembentukan negara ini, Malaysia dibina oleh masyarakat Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain. Mahu tidak mahu pewaris generasi masyarakat berbilang kaum, agama dan bahasa ini yang akan terus menjadi rakyat dan tunggak pembangunan negara ini sampai bila-bila. Kita harus sedar bahawa perpaduan antara kaum di negara ini masih longgar. Sedikit sentimen dimainkan oleh puak ekstremisme kaum, ia boleh menyemarakkan api perkauman menjadi besar. Pengaruh dan hasutan ekstremis kaum boleh menjejaskan intergrasi nasional. Mereka ini barangkali sudah lupa pada peristiwa 13 Mei 1969 yang tercetus berpunca daripada masalah perkauman dan jurang ekonomi yang besar. Demi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum di negara ini, maka kerajaan Perikatan selepas itu Barisan Nasional berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan dan perpaduan kaum melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini yang bermatlamat menghapus jurang pendapatan antara kaum dan menyatukan rakyat berbilang kaum dilaksanakan merentasi bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan serta sosial. Mengapa setelah sekian banyak tenaga, masa dan wang dicurahkan dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, tetapi ada pihak tertentu pula cuba merosakkan perpaduan kaum yang menjadi teras utama kejayaan negara selama ini. Kita harus segera sedar apa yang sedang berlaku dalam hubungan pelbagai kaum di negara ini. Berapa bilangan rakan kita yang terdiri daripada kaum-kaum lain? Tanya pada diri sendiri, apa punca menyebabkan kita tidak berminat bercampur gaul dengan kaum-kaum lain. Apakah aktiviti kemasyarakatan dan persekolahan lebih tertumpu kepada kaum-kaum masing-masing sahaja atau pengaruh dakyah pihak-pihak tertentu? Apakah kita berasa perpaduan kaum sudah tidak lagi penting dalam era negara mengharungi dunia tanpa sempadan? Apakah penguasaan ekonomi dan pengaruh politik boleh menentukan kelangsungan hidup kaum-kaum di negara ini? Orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Melanau dan lain-lain harus membuka minda bahawa perbuatan mementingkan kaum masing-masing secara melampau, akhirnya hanya akan membahayakan negara ini. Justeru semua pemimpin kaum, pertubuhan walaupun berbeza ideologi politiknya harus serius mencari punca hingga wujud ekstremisme kaum yang ada di sekeliling mereka, daripada membiarkan ia merosakkan apa yang telah kita bina. |
| 3. | Buku ini adalah genre pertama teks sejarah Patani menurut bentuk baru yang amat berpengaruh kepada masyarakat Melayu Patani khasnya dan juga menjadi teks rujukan utama kepada penulis sejarah Patani yang terkemudian. Ia berbentuk baru apabila dibandingkan dengan Hikayat Patani yang masih dalam bentuk penulisan hikayat. Sejarah Patani adalah sebuah teks sejarah yang ditulis dengan kaedah dan tujuan yang jelas. Sungguhpun asal pengedaran dan penerbitannya diharamkan, namun buku ini terus diperkatakan keunggulan penulisannya oleh sarjana tempatan mahupun sarjana Barat. Pada naskhah asal terdapat catatan tarikh 15 Oktober 1958. Ini membawa maksud ia dicetak dan diterbitkan pada tahun 1958. Penerbitan edisi ini juga bukan penerbitan sebuah kajian teks tetapi lebih merupakan percetakan semula. Tugas merumitkan ialah dalam edisi jawi. Dengan itu, kelemahan atau kesilapan asal yang terdapat dalam teks jawi dikekalkan. Edisi ruminya memakai ejaan rumi baru, manakala nama tempat dan nama individu dari wilayah-wilayah Selatan Thai disesuaikan dengan ejaan rasmi yang diterima pakai di sana. Buku ini amat menarik kerana edisi baru iaitu rumi dan jawi dimuatkan dalam naskhah yang sama. Terdapat empat bab dalam buku edisi rumi setebal 62 halaman dan edisi jawi setebal 129 halaman. Empat bab berkenaan ialah bertajuk Tanah Melayu pada Zaman Purbakala; Pembangunan Negeri Patani dan Keturunan Raja-rajanya; Pemerintahan Patani pada Zaman Kejatuhan dan Negeri Patani Zaman Kebangkitan. Buku ini juga memuatkan foto mengenai pemerintah terakhir kerajaan Melayu Patani dan beberapa gambar lain yang membuktikan akan kewujudan pemerintahan kerajaan tersebut. Langkah Penerbit UKM menerbitkan siri buku edisi jawi dan rumi ini adalah wajar kerana ia berupaya menarik pembaca untuk mengikuti sejarah Melayu Patani dalam kedua-dua edisi ini serta memartabatkan edisi jawi. Sebuah pesanan oleh penulis, Ibrahim Syukri untuk orang-orang Melayu Patani berbunyi: ``Sesungguhnya nasib orang-orang Melayu Patani tidak harus diletakkan dalam tangan pemerintahan Siam-Thai tetapi langkah memperbaiki nasib kedudukan mereka adalah terletak di dalam tangan mereka sendiri.'' Renung dan fikirkanlah. _ RADZUAN GHAZALI
|
| 4. | Dengan menggunakan struktur
dan proses mengarang yang baik, tulis karangan yang panjangnya antara 650
hingga 700 patah perkataan bagi tajuk-tajuk berikut:
1. Sekolah-sekolah akan mulai menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di tahap Tahun Satu, Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam Bawah mulai tahun 2003. Berikan pendapat anda dalam hal ini. 2. Anda mewakili sekolah menyampaikan ceramah bertajuk ``Menangani Masalah Polarisasi Kaum Di Malaysia.'' Sediakan ceramah anda selengkapnya. 3. Anda baru sahaja mengetuai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu di Sabah. Tulis laporan selengkapnya untuk diserahkan ke pejabat pengetua. 4. Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Institusi Pengajian Tinggi Awam masih gagal menampung pertambahan jumlah pelajar yang layak ke universiti. Bincangkan perkara ini. |