BERITA
Memahami kesihatan reproduktif

Memahami kesihatan reproduktif


SEBAHAGIAN daripada sukarelawan belia yang akan terlibat dalam program Caltex Body Works menerima sijil penyertaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

CHEVRON Malaysia Limited (Chevron) melancarkan program Caltex Body Works, sebuah bengkel mengenai kesihatan reproduktif bagi pelajar sekolah menengah sebagai sebahagian daripada inisiatif Energy for Learning yang dianjurkan secara global.

Program kemasyarakatan ini bertujuan memperkasakan remaja yang berusia 15 hingga 18 tahun dengan maklumat dan ilmu pengetahuan tentang kesihatan reproduktif menerusi bengkel yang dikendalikan oleh Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM).

Para peserta akan dipilih dari sekolah yang terletak di negeri Selangor, Perak, Melaka, Terengganu, dan Kelantan.

FRHAM berganding bahu dengan persatuan negeri untuk mengenal pasti sekolah di kawasan yang boleh mendapat manfaat paling besar daripada program Caltex Body Works. Program ini merangkumi satu siri bengkel yang diadakan dalam tempoh lapan bulan akan datang sehingga Oktober.

Pengerusi Negara Chevron, Jeremy Oh berkata, inisiatif tersebut menyokong program berasaskan pembelajaran yang mewujudkan peluang untuk menimba pengetahuan baru.

Menurut beliau, Program Caltex Body Works adalah sejajar dengan pendirian syarikat itu bahawa usaha menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang kesihatan dan penyakit reproduktif seperti HIV/AIDS kepada minda remaja akan membantu mereka membesar menjadi dewasa yang sihat dan bertanggungjawab serta dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara secara umumnya.

"sesi untuk guru besar, pengetua dan kaunselor sekolah juga diadakan supaya mereka dapat memahami dan menimba pengalaman," kata Jeremy.

Hal ini akan membolehkan mereka memberikan maklum balas dan cadangan yang boleh digunakan untuk kesesuaian bengkel yang akan dianjurkan untuk para pelajar.

Sempena majlis pelancarannya, sijil penyertaan telah disampaikan kepada sukarelawan belia dari universiti awam di Lembah Klang yang telah menjalani modul latihan bengkel.

Modul yang penuh dengan aktiviti ini meliputi konsep utama termasuk “Memahami Badan Anda”, “Menjaga Kesihatan Anda”, “Kita Adalah Sama”, “Hak dan Tanggungjawab Reproduktif” ,“Saya dan Nilai Peribadi Saya” dan “Saya dan Teman Saya”.

Sementara itu, Pengerusi FRHAM, Dr Kamaruzaman Ali berkata, berdasrakan Kajian Penduduk dan Keluarga yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, kira-kira separuh daripada remaja di Malaysia mempunyai pengetahuan yang terhad tentang kesihatan seksual dan reproduktif, termasuk jangkitan HIV.

Justeru, katanya, program seperti Caltex Body Works anjuran Chevron ini akan memainkan peranan penting dalam menangani isu ini khususnya kepada generasi muda.

"Kerjasama FRHAM dan Chevron ini berhasrat untuk memperkasakan anak muda Malaysia bagi membolehkan mereka membuat keputusan lebih tepat tentang kesihatan reproduktif,” kata Dr Kamaruzaman.

Modul bengkel ini dirangka oleh FRHAM dengan pembiayaan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA).

Bengkel ini diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :  
Kata Laluan :
IKLAN@TUTOR
Pakej Pembelajaran Online
Elab
Utusan Online
USIK-USIK
CARIAN